Friday, August 19, 2011

11 Golongan Orang Yang Didoakan Malaikat

Sekadar perkongsian..diambil daripada buku Golongan Yang Didoakan Malaikat karya Walid Faruqi.

Berdasarkan hadis Nabi s.a.w terdapat 11 golongan umat Islam yang mendapat doa daripada para malaikat seperti berikut:
Orang yang tidur dalam keadaan bersuci.

Dari Ibnu Abbas, dia berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
“Sucikanlah badan kalian, semoga Allah mensucikan kalian. Tidaklah seseorang hamba bermalam (tidur) dalam keadaan suci kecuali para malaikat akan bersamanya dalam pakaiannya. Tidaklah ia membalikkan badannya sesaat pun ketika tidur malamnya kecuali malaikan berkata ‘Ya Allah, ampunilah hambaMu ini. Sesungguhnya ia tidur dalam keadaan suci.” (HR At-Thabrani dengan sanad jayyid, al-Mu’jam al-Kabir). Orang yang sedang duduk menunggu waktu solat.
Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:
“Tidaklah salah seorang antara kalian yang duduk menunggu solat, selama ia berada dalam keadaan suci, kecuali kalangan malaikat akan mendoakannya. ‘Ya Allah, ampunilah ia. Ya Allah, sayangilah ia.”

Orang yang berada di saf hadapan sewaktu solat berjemaah.


Nu’man bin Basyir RA berkata, aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:
“Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat ke atas (orang) yang berada pada saf pertama, atau yang ada di barisan-barisan pertama.” (HR Ahmad. Dihasankan oleh Albani dalam Shahih at-Targhiib wat Tarhiib)

Dalam sebuah hadis lain Nabi s.a.w bersabda:
“Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat untuk orang-orang di saf pertama.” (HR an-Nasa’i dan Ibnu Majah).

Orang yang menyambung saf pada solat berjemaah (tidak membiarkan kekosongan dalam saf).


Daripada Aishah RA bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:
“Sesungguhnya Allah S.W.T. dan para malaikat-Nya berselawat kepada orang yang menyambung saf. Dan sesiapa menutup kekosongan pada saf, maka Allah mengangkat darjatnya. (HR Ibnu Majah).

Orang yang mengucapkan 'amin' bertepatan dengan malaikat ketika imam selesai membaca al-Fatihah.


Daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:
“Jika imam menyebut amin maka sebutlah amin, sesungguhnya barangsiapa yang sebutannya bertepatan (bersamaan) dengan amin para malaikat maka diampunkan dosanya apa yang telah berlalu.” (HR Bukhari no. 780, Muslim no. 410, dan at-Tirmizi no. 250 serta Abu Dawud no. 936).

Orang yang duduk di tempat solatnya selepas melakukan solat.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
“Para malaikat itu berselawat ke atas salah seorang daripada kalian selama dia masih tetap di tempat duduknya yang menjadi tempat solat. Mereka mengucapkan, ‘Ya Allah, sayangilah dia. Ya Allah, berikanlah keampunan kepadanya. Ya Allah, ampunilah dia, selama dia tidak mengganggu dan tidak berhadas.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Orang yang melakukan solat Subuh dan Asar secara berjemaah.


Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
“Silih berganti datang kepada kamu malaikat malam dan malaikat siang, mereka berkumpul pada waktu solat Fajar dan solat Asar. Kemudian naiklah malaikat yang telah bermalam padamu, lalu Tuhan bertanya kepada mereka: Bagaimana kamu meninggalkan hamba-hamba-Ku? Maka mereka menjawab: Kami meninggalkan mereka sedang mengerjakan solat dan kami datangi mereka pun sedang mengerjakan solat.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Orang yang mendoakan saudaranya tanpa pengetahuan orang yang didoakannya.


Daripada Abu Darda’ RA, Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
“Setiap Muslim yang mendoakan saudara seagamanya tanpa pengetahuannya pasti akan didoakan oleh malaikat dengan berkata, ‘Engkau juga akan mendapat seumpamanya.” (HR Muslim).

Orang yang membelanjakan harta (infaq).


Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
“Tidak satu hari pun di mana pagi harinya seorang hamba ada padanya kecuali dua malaikat turun kepadanya, satu antara kedua-duanya berkata: ‘Ya Allah, berikanlah ganti bagi orang yang berinfaq.”

Orang yang sedang makan sahur.


Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
“Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya sentiasa berdoa kepada orang yang bersahur.” (HR Ahmad).

Dari Anas bin Malik RA, beliau berkata, Rasulullah s.a.w bersabda:
“Bersahurlah kalian, kerana di dalam sahur terdapat barakah.” (HR al-Bukhari, Muslim, Ahmad, at-Tirmizi, an-Nasa’i dan Ibu Majah)

Orang yang menziarahi orang sakit.


Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
“Sesiapa yang mendatangi saudaranya (yang sedang sakit) untuk menjenguknya maka dia seperti berjalan di taman syurga sampai dia duduk. Jika ia telah duduk maka dia akan diliputi rahmat. Apabila seseorang menjenguknya pada pagi hari, maka tujuh puluh ribu malaikat akan berselawat kepadanya sampai petang hari. Apabila dia menjenguknya pada petang hari, maka tujuh puluh ribu malaikat akan berselawat kepadanya sampai pagi hari.” (HR Ibnu Majah)